Maklumat ini menarik dikongsi bersama. Namun sejauh mana telusnya maklumat yang akan diberikan oleh para menteri dan tim.menteri bila mengistihar maklumat harta mereka kepada awam..Apa komen anda
Tinta Admin Suara Rakyat
Oleh : ABDUL RAHIM ANUAR
Kemudahan komputer dan Internet memudahkan rakyat mendapat maklumat dengan cepat dan pantas.Keputusan Kabinet agar menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta untuk tatapan rakyat adalah bagi membuktikan pelantikan mereka bertujuan berkhidmat kepada rakyat.
Ia adalah langkah ke arah membentuk Kabinet yang bebas daripada amalan rasuah, kronisme dan nepotisme dalam mengurus ekonomi dan kekayaan negara.
Rasuah boleh ditafsirkan sebagai salah laku tadbir urus kerajaan. Ia mempunyai kesan yang buruk kepada pembangunan ekonomi dan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Laporan Transparency International tentang persepsi rasuah di peringkat antarabangsa menunjukkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi negara ialah 5.0 (2004), 5.1 (2005), 5.0 (2006) dan 5.1 (2007). Skor CPI 1.0 menunjukkan wujud rasuah yang tinggi, manakala skor 10.0 menunjukkan negara itu bebas daripada amalan rasuah.
Bagi tempoh 2004-2007, berlaku penurunan skor CPI yang sedikit. Tidak banyak perubahan dalam tempoh tersebut.
Ini memberi petunjuk bahawa usaha perlu dilipat ganda oleh kerajaan untuk membasmi amalan rasuah dalam sektor awam dan swasta khususnya rasuah berprofil tinggi.
Pendekatan kerajaan dalam perkongsian maklumat itu dengan rakyat, bagaimanapun, lebih bersifat unilateral dan mengikut aliran atas – bawah.
Oleh kerana menteri dan timbalan menteri adalah wakil rakyat, maka untuk dasar itu lebih bermakna – rakyat wajar diberi hak untuk mengakses dan menilai dokumen rasmi kerajaan itu.
Ini bererti, aliran maklumat yang dikongsi bersama secara bawah – atas adalah juga kritikal. Ia membolehkan rakyat mempersoalkan sumber harta yang diperoleh dan menilai kesahihannya.
Dalam pada itu, ia mewujudkan satu proses yang kerajaan lebih terbuka dan telus. Mereka yang berkuasa lebih bertanggungjawab kepada rakyat.
Hak akses maklumat dan kebebasan maklumat adalah satu daripada beberapa hak asasi manusia. Malah, Islam menegakkan hak asasi manusia dan menganjur kebebasan maklumat serta hak akses maklumat.
Ironinya, kita masih ‘digari’ dengan sindrom sulit dalam perkongsian maklumat antara kerajaan dengan rakyat. Perkongsian maklumat juga dikekang oleh Akta Rahsia Rasmi (1997).
Perkongsian maklumat dengan rakyat banyak bergantung kepada budi bicara kerajaan dan bersifat unilateral.
Sekadar contoh, perdebatan mengenai konsesi tol antara parti pembangkang dengan kerajaan dua tahun lepas telah mendorong kerajaan untuk menerbitkan semua dokumen perjanjian konsesi tol bagi tatapan umum supaya orang ramai mengetahui keadaan sebenar sekali gus mengelakkan persoalan mengenai ketidaktelusan dalam isu tersebut.
Bagaimanapun, pramaklumat itu adalah lebih penting daripada pascamaklumat yang membolehkan rakyat menilai konsesi tol itu.
Begitu juga dengan desakan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas kerajaan mengenai isu permit import kereta dua tahun yang lepas juga mendorong kerajaan untuk mendedahkan senarai penerima permit import.
Menjelas
Isu kenaikan harga minyak pada tahun lepas juga mendorong kerajaan untuk menjelas isu subsidi kepada orang ramai.
Walaupun kerajaan banyak menyebar maklumat menerusi media cetak dan elektronik, ia masih berbeza dengan hak akses maklumat.
Selain itu, tiada perundangan untuk jaminan mengakses maklumat ke atas dokumen kerajaan oleh rakyat.
Pada umumnya, rakyat kini adalah kritikal tentang integriti dan kredibiliti kerajaan. Ada yang mempersoalkan akauntabiliti di kalangan ahli politik, sistem kehakiman yang adil, akauntabiliti birokrasi, ketelusan maklumat dan kebebasan bersuara.
Ketidakpuasan hati itu telah diterjemahkan dalam pilihan raya umum baru-baru ini dengan lima negeri dikuasai dan diperintah oleh parti pembangkang.
Cara yang terbaik untuk kembalikan keyakinan rakyat adalah dengan meningkatkan integriti dan kredibiliti kerajaan dalam pengurusan ekonomi dan agihan kekayaan negara menerusi perkongsian maklumat tanpa prasangka dengan rakyat.
Dalam landskap ekonomi politik baru negara ini, penguasaan parti pembangkang ke atas lima negeri – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan – telah membolehkan rakyat untuk membuat perbandingan integriti dan kredibiliti tadbir urus di antara Kerajaan Pusat, negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang dan negeri yang masih diperintah oleh Barisan Nasional.
Cara paling terbaik dalam membasmi rasuah yang berpunca daripada amalan kronisme dan nepotisme ialah dengan menggubal Akta Kebebasan Maklumat seperti di Amerika Syarikat yang memberi jaminan akses maklumat oleh rakyat kepada dokumen rasmi kerajaan.
Berdasarkan maklumat yang berkaitan dengan kebebasan maklumat dari laman web Privacy International dan freedominfo.org, kini terdapat 56 buah negara (maju dan membangun) mempunyai undang-undang akses maklumat ke atas dokumen rasmi kerajaan.
Di kalangan negara jiran di Asia ialah Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, Filipina, dan Thailand. Manakala di kalangan negara maju ialah Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Kebebasan maklumat dan hak akses kepadanya adalah satu kemestian bagi merealisasikan akauntabiliti, keterbukaan, ketelusan dan keadilan di pihak kerajaan.
Tanpa nilai integriti, negara tidak boleh dikatakan negara maju dalam erti kata sebenar, meskipun maju dari segi ekonomi, sosial mahupun kualiti hidup, malah minda kelas pertama. Peranan kerajaan bukan sahaja untuk meningkatkan kemajuan rakyat menerusi pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan moral dan budi pekerti yang luhur dan membina masyarakat yang sivil.
* PENULIS ialah pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Filed under: Pandangan Rakyat